Hujung minggu yang lalu ( 25 & 26 Februari 2012 ), saya dan suami berkesempatan menghadiri Bengkel Penulisan Novel yang dikendalikan oleh Cik Salina Ibrahim setelah hasrat ini lama tertangguh dek kesibukan tahap gaban. Dalam hati berat juga sebenarnya kerana kebiasaannya hujung minggu adalah hari bersama anak-anak. Namun ujar suami, sedikit pengorbanan diperlukan. Syukur anak-anak faham dan tidak banyak ragam ketika ditinggalkan dengan pembantu. Tiada langsung gangguan ditelefon bimbit kami.
Bengkel ini menarik bagi saya yang belum pernah menghadiri apa-apa bengkel penulisan kerana bilangan peserta tidak ramai, kurang dari 10 orang. Di antara 10 orang ini mempunyai profession yang berlainan tetapi minat yang sama – MENULIS.
Cik Salina yang lebih mesra disapa Cik Sal memang pandai mencuri perhatian kami. Lantas bengkel 2 hari yang berlangsung sehingga malam tidak membosankan. Meskipun jumlah peserta tidak ramai ( saya lebih suka begitu..kerana lebih akrab) tetapi setiapnya melontarkan idea yang tanpa henti. Berkongsi pengalaman dan cuba ‘mencantikkan’ idea rakan-rakan.
Cik Sal yang berlatarbelakang ilmiah dalam bidang undang-undang syariah telah menulis sejak usia belasan tahun lagi ( timbul rasa..macam dah terlewat aje aku ni..). Beliau bermula dengan genre puisi dan cerpen sebelum diperluaskan kepada genre novel. Antara novel nukilan beliau termasuklah Mahligai, Anjung Warisan, Kombinasi Bunga Cinta, Untukmu Hana, Atas Nama Kasih, Syurga Di Hati, Bukan Yang Pertama, Aina & Aini : Diva Kampung dan Tulis Cinta Dalam Hati. Beliau juga memiliki kumpulan cerpen Memaknakan Cinta dan 17 Antologi bersama yang kebanyakannya diterbitkan oleh DBP. Beliau juga banyak memenangi Hadiah Sastera.
Bagi saya yang masih ‘hijau’, bengkel ini telah berjaya 50 peratus merealisasikan impian saya kerana persembahan idea cerita saya telah berjaya menarik perhatian sebuah syarikat penerbitan ( kebetulan 2 editornya hadir sama ) dan memohon saya untuk menyampaikan kertas cadangan ( sinopsis dan rangka bab 1 & 2 ). Idea tersebut telah lama saya ‘jeruk’ kan dalam koleksi tulisan saya kerana saya sangat berhati-hati menyimpan ‘rahsia’ itu kerana ianya adalah kisah benar seorang sahabat 15 tahun yang lalu. Saya mengolahnya mengikut selera semasa.
Mulai sekarang, saya perlu lebih gigih dan target yang diberikan perlu ditunaikan. Kerana untuk berjaya saya kategorikan diri saya sebagai 10 peratus bakat dan 90 peratus usaha. Semoga selepas bakat diasah, saya akan menemukan sebaliknya. Kerana itu juga saya bagaikan tidak percaya, dalam tempoh 2 hari saya berjaya menghabiskan 2 novel setebal hampir 400 muka surat. Saya akan lebih banyak ketemu Cik Sal selepas ini bagi sessi bimbingan. InsyaAllah, semoga impian saya untuk menulis dan beramal kebajikan melalui bidang itu ditunaikan oleh TUHAN.
( Cik Salina, Norma - Tauke Syarikat Percetakan, Hidayah - Cikgu Sains kat Kluang, Me, Khairani - Cikgu Bahasa Melayu di sebuah sekolah swasta dan Kak Mona - Lecturer cum Director Open University...mereka semua memang berbakat sebab ada antaranya dah siap ada novel dan kami berjanji untuk satu projek usahama..:D)
- Get link
- X
- Other Apps
Comments
Post a Comment