UNTUK MU BENTARA
( Dideklamasikan sempena persaraan YBhg. Prof. Datuk Dr. Nik Mohd Zain Bin Haji Nik Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi yang telah memegang portfolio selama 8 tahun. Beliau umpama bapa dan mentor saya. Majlis berlangsung di Wisma Tanah, Jalan Semarak pada tahun 2002. Sesuatu yang membanggakan, sajak nukilan saya ini tersergam diruang rumah YBhg. Datuk sehingga kini.....)
Tarikh keramat 15 Disember 1946, dirimu diputerakan,
Di Negeri Cik Siti Wan Kembang bergemalah tangisan,
Tangis bukan tangis kepayahan,
Bahkan ianya adalah tangis peri suluh masa hadapan,
Dijaga ditatang penuh harapan,
Agar yang lahir ini bakal membawa sinar gemerlapan,
Membesar dirimu di kalangan cendekiawan,
Merempuh onak umpama pahlawan.
Bertatih selangkah demi selangkah,
Meniti pengalaman tahun demi tahun,
Dari timbalan pengarah kepada pengarah,
Segala jasamu disini terhimpun,
Berkat hadirmu di kementerian bertuah,
Umpama rahmat datang melimpah,
Bersinar cahaya alam nan cerah,
Bagi mu tiada perkara dianggap payah,
Menyusuri baktimu di kementerian tercinta,
Umpama menyusuri jalan tiada penghujungnya,
Niat murnimu memajukan diri, agama, bangsa dan nusa,
Itulah tekad mu wahai bentara.
Tatkala kita menoleh ke belakang,
Di laluan inilah kita pernah bertemu,
Di laluan inilah kita pernah berbicara,
Di laluan inilah kita bagaikan saudara,
dan di laluan ini jualah perpisahan akan terasa,
Kerana di laluan ini Bentara akan berangkat,
Melengkapi perjuangan mu bergelar pegawai kerajaan.
Hari ini,
Wisma ini akan kehilangan sesuatu,
Suara yang sering membakar semangat warganya,
Bakal tiada lagi kedengaran,
Dalam samar kami pasti tercari,
Tetapi jauh di sudut hati,
Kami yakini ideamu, prinsipmu, perjuangan dan semangatmu,
Selama mana Bentara di sini.
Sepanjang 33 tahun 2 purnama,
Kau mencurah bakti yang tidak pernah kering,
Kau meletakkan kementerian di tangga selayaknya,
Jabatan dan agensi menyusul bersama,
Tersergam indah Institut Tanah dan Ukur Negara,
Hasil cetusan fikiran mu,
Sistem pengkomputeran canggih,
Diakui seratanya,
Kami warga teramat bangga,
Menyebut nama mu di mana jua
Adat berumah di tepian pantai,
Harus berani menempa badai,
Namun ternyata kau bukan calangan,
Setiap anasir kau usir; secara melayunya,
Keras tetapi penuh bersopan.
Percayalah Bentara,
Amat sukar membicarakan perpisahan,
Kekadang sendu syahdu mengiringi,
Tetapi mengertilah,
Akan perpisahan itu,
Satu lumrah percaturan tinta yang telah direncana.
Simpulan jasamu bertaut erat di lubuk rasa,
Menjadi tebaran teladan bagi semua,
Tuan Bentara,
Terima kasih atas segalanya,
Bakti mu dikenang ke akhir usia,
Sinarnya terang bagaikan tiada cela,
Serinya mampan dalam cahaya,
Dan kami hanya tahu,
Tidak cukup apa yang kami perbuat,
Untuk balasan jasamu,
Tetapi itulah kami,
Dalam batas-batas manusiawi,
Dengan idealisme yang kau tanamkan,
Telah jadi kebanggaan kami,
Memori bersama mu,
Akan kami simpul dan sematkan ,
Lalu kami letakkan disudut paling istimewa,
Dan tidak akan pudar sehingga selamanya.
Ampun dan maaf kami pinta,
Andai hatimu pernah terluka,
Tercarik dek perbuatan dan perbualan kami, Tanpa kami sedari
Walaupun kau kini tidak lagi mentadbir,
Teruskanlah perjuangan murni mu,
Didiklah anak watan,
Agar menjadi secemerlang dirimu,
Agar apabila kami melihat mereka,
Terbayanglah kami akan dirimu,
Yakinilah Tuan Bentara,
Kami ; di kejauhan mahupun dikedekatan,
Akan sentiasa mendoakan; sejahteralah,
Dirimu, isteri mu dan seluruh keluarga mu
Kini, Bila tiba wak tunya,
Kami mengucapkan selamat jalan dan jutaan terima kasih,
Buat mu Tuan Bentara,
Prof Datuk Dr. Nik Mohd Zain Bin Haji Nik Yusof.
RAJA SAADIAH RAJA ALWEE
KTPK
14 Disember 2002
Comments
Post a Comment