HEPI BEST DAY NUREEN - 7th YEARS OLD

Hari ini merupakan hari lahir anak ku, Puteri Nureen Qistina yang ke tujuh tahun. Tetapi tulisan hari ini bukan berkisar untuk Nureen sahaja, semua anak-anak saya adalah nyawa saya dan pada hari-hari istimewa seperti ini, saya lebih selesa untuk berkongsi tentang mereka semua. Apapun...Ayah, Ummi, Kakak dan Nuha mengucapkan..."HEPI BEST DAY NUREEN @ GEDEHEE" ( nama timangan manja yang kami berikan tatkala Nureen membuat 'perangai'...hehehe ).

Menjadi seorang ibu tentunya menjadi impian dan harapan setiap insan bergelar wanita. Tanyalah wanita mana yang telah berstatus isteri yang tidak mahu merasai pening dan loya, gerakan nakal insan kecil dan perut yang semakin kedepan sebagai tanda membawa satu nyawa dalam dirinya. Saat itulah terujanya wanita itu untuk memakai pakaian mengandung yang sememangnya tidak boleh disarung setiap masa tanpa sebab. Begitu juga aku, yang merasa sangat bertuah diberi kenikmatan oleh tuhan untuk mengecap semua itu seawal sepurnama usia perkahwinan ku. Meski aku melepaskan status bujang diusia yang sangat muda. Lebih nikmat apabila sehingga saat ini, aku telah diberi 3 kali peluang melalui semua itu. Bercerita tentang puteri-puteri ku memang menjadi minat aku kerana mereka semuanya berbeza dengan kerenah masing-masing.


1.                PUTERI NUR QAMARINA - CAHAYA BULAN KAMI

Sangat mudah mengandungkannya dan lebih mudah melahirkan nya. Setelah disahkan mengandung, aku disuruh suami untuk berhenti kerja dan berehat sepenuhnya dirumah. Tidak langsung mengenal istilah 'mabuk' ketika membawa INA kemana sahaja. Telah aku berjanji bahawa aku akan mengingati setiap data kelahiran anak ku. INA dilahirkan pada 4 Disember 1999 hari Sabtu pada jam 5.24 petang dengan ketinggian 43 cm dan seberat 2.88 kg. INA dilahirkan cepat dua minggu dari tarikh jangkaan. Kini INA telah berusia 12 tahun. INA diberi kelebihan oleh tuhan sangat pandai menjaga hartanya. Barang-barang antaranya buku, pen, pensil, getah rambut dan lain-lain disusun sebaiknya dan ditandakan dengan kemas dan cantik di dalam almarinya. Pernah sekali, kami sangat terkejut apabila beliau menelefon kami menyuruh kami mengambil sesuatu dari dalam almarinya. Arahannya sangat jelas dan keadaan jadi mudah. "Ummi, tolong ambilkan pemadam yang INA letakkan di drawer warna merah jambu sebelah kiri, tarik tingkat nombor dua bersebelah dengan tempat simpan koleksi Buku Bintang Kecil, kira susunan sehingga baris nombor enam dan disitulah tersimpannya barang yang INA hendak tu ". Subhanallah...kuatnya ingatan INA. Ina juga seorang yang sangat pembersih dan cukup pantang dengan kekotoran. Memang telah ku ajari anak-anak ku  dengan nilai ini. Pernah seorang tetamu berkunjung ke rumah kami terdiam melihat gelagat INA apabila seorang dari adiknya bercakap tanpa sengaja tersembur sedikit air liur ke bajunya. Dengan pantas INA terus ke bilik menukar baju. Memang INA seorang yang tidak suka ada sedikit pun kekotoran pada dirinya. Setelah menginjak dewasa, INA kini jadi lebih tegas. Pantang barang-barangnya diusik adik-adik, secepat kilat suara INA akan kedengaran. Tapi kami yakin INA sangat sayang adik-adiknya kerana beliau pernah berkata mengimpikan duduk serumah dengan semua adik-adiknya dan setiap kali INA 'mengembara' keluar kota dengan kawan-kawannya, pasti ada 'buah tangan' untuk adik-adiknya hatta sebuah rantai kunci yang tertera nama adik-adiknya. Disekolah INA memang terkenal dengan sifat suka ketawa dan jalan sambil berlari dikalangan teman-teman baiknya dan para guru. Sebagai seorang pengawas sejak dari darjah 4 lagi, beliau memang aktif dengan aktiviti sekolah. Suka sangat menawarkan diri untuk apa saja tetapi akhirnya ummi juga yang menjadi 'mangsa'. Aku tidak kisah kerana bagi ku itu satu perkembangan sihat untuk INA yang sememangnya adalah 'salinan' ayahnya. Maksud aku...minatnya, wajahnya dan cita-citanya. Sangat meminati buku, wajah yang saling tak tumpah ayahnya dan cita-citanya untuk menjadi seorang ahli perniagaan. Itulah INA puteri sulung ku.


2. PUTERI NUREEN QISTINA - CAHAYA KEADILAN KAMI

NUREEN aku lahirkan pada 2 Mei 2005 hari Isnin jam 10.17 malam dengan ketinggian yang sangat tinggi 57 cm dan berat yang sangat berat 3.8 kg dan lewat dua minggu dari tarikh jangkaan. Anak kedua ku ini sememangnya seorang yang sangat-sangat manja. Mana kan tidak, NUREEN aku susukan sehingga usianya 3 tahun. Sehingga kini, tiap kali sebelum NUREEN ke kamar beradunya, siku aku pasti jadi mangsa kerana itu adlaah tabiatnya..bermain dengan siku ku. NUREEN pada aku, seorang anak yang sangat istimewa. NUREEN cepat mempelajari sebarang yang kami ajarkan. Dunia kecantikan adalah minat NUREEN. Alat-alat solek ku akan sentiasa menjadi bahan mainan NUREEN. Tanpa kelas, NUREEN sekarang sudah pandai bermekap. NUREEN seorang yang sangat tegas dengan apa yang dimahukannya. Tiada istilah boleh 'menipu' padanya. Dahulu menjadi kebiasaan kami untuk mengelakkan NUREEN tahu perbualan kami maka kami menggunakan bahasa Inggeris. Tetapi kini, setelah NUREEN mahir setiap perbualan kami akan sampai kepengetahuannya. Akibatnya, kami perlu sangat berhati-hati kerana NUREEN meskipun berada jauh dari tempat perbualan kami, tetapi NUREEN dapat menangkap segalanya. Itulah istimewanya NUREEN. Oleh kerana NUREEN sukakan kecantikan, NUREEN juga sering dipuji kerana cantik dan manis. Memang aku akui, sejak lahir NUREEN telah menunjukkan ciri-ciri kecantikan apabila warna kulitnya ditegur oleh semua petugas hospital yang menyambutnya..."merah jambunya kulit baby ini". Rahsianya..aku suka makan buah strawberi dan minum yogurt berperisa strawberi semasa mengandungkannya. Oleh kerana rapatnya NUREEN dengan kami, setiap kali kami keluar rumah NUREEN pasti sudah ada ditempat duduk belakang kereta ayahnya. Amat berat meninggalkannya dirumah kerana NUREEN akan cepat bosan jika tiada yang melayan. Kerana itu jugalah, mulut NUREEN tidak akan berhenti bercakap sepanjang perjalanan kemana-mana sahaja kecuali ketika NUREEN tertidur atau makan. Jika tidak bersembang gaya orang dewasa , menyanyi pun jadilah. Kini NUREEN telah mula tidur bersama INA dikamar mereka dan kami adakalanya rindu dengan pelukan tanpa lepasnya sepanjang 6 tahun tidur bersama kami. Cita-cita NUREEN seperti yang diceritakannya " NUREEN nak selalu bersama ummi dan ayah, tak payah kerja supaya dapat selalu dekat ".

3. PUTERI NUHA QAIREENA - KECERDIKAN DAN KEBAIKAN

Nuha aku lahirkan pada 18 Julai 2009 hari Sabtu  pada jam 3.03 petang dengan ketinggian 47 cm dan berat 3.33 kg tepat pada tarikh jangkaan. NUHA memang sinonim dengan angka 3. Dengan semua 3 yang aku tulis di atas ditambah dengan anak ke 3 yang aku lahirkan pada usia 33. Ada seorang cina mengatakan NUHA seorang yang akan diliputi tuah. Tapi aku sekadar mendengar dan menyerahkan takdir tuah itu pada tuhan kerana DIA yang lebih tahu. Selari dengan makna namanya, memang NUHA seorang yang sangat cerdik. NUHA mencatat sejarah apabila meniarap selepas genap 44 hari aku habis berpantang. NUHA juga mula bercakap seawal usianya 1 tahun. Tetapi menjaga dan membesarkan NUHA sangat mencabar kerana aku jatuh sakit ditambah dengan NUHA yang sangat sukar untuk tidur malam. Namun sebagai ibu aku terima segala dugaan itu dengan mengingati bahawa akan ada hikmah disebaliknya. Kini menginjak usia 2 tahun, NUHA sangat comel dan kami sekeluarga sangat menyukai telatahnya. NUHA menggembirakan kerana NUHA seorang yang sangat peramah dan suka tersenyum. Senyuman yang sangat menawan. Semua yang melihat NUHA akan pasti berkata bahawa NUHA sangat istimewa dan wajahnya sangat lain. Kini NUHA sudah pandai meminta-minta dan makan segalanya. Amat seronok apabila membawa NUHA berjalan hujung minggu kerana NUHA akan sangat-sangat bahagia ketawa berdekah-dekah. NUHA sangat manja juga, suka benar merapatkan badannya pada ku dan pasti akan muncul di muka pintu setiap kali aku pulang dari pejabat atau dari mana jua. Tidak sabar menunggu saat NUHA besar dan boleh berkongsi rasa dengan aku kerana melihatnya aku percaya NUHA akan menjadi klon umminya.

Merekalah puteri-puteri ku yang aku lahirkan untuk memanjang zuriat keturunan aku dan suami ku. Adakalanya mereka tiada dirumah kerana mereka sangat suka 'dicuri' insan-insan tertentu, kami merasa sangat sunyi dan tercari-cari suara telingkah, ketawa suka dan menangis manja. Merekalah nafas hidup aku dan suami ku. Dalam keadaan hampir 'tersungkur' oleh apa jua sebab, memandang mereka mendamaikan jiwa dan mengembalikan kami kelandasan sebenar mengapa mereka dikurniakan untuk kami. Doa tanpa henti dalam tiap kali tadahan tangan ini " Semoga mereka menjadi insan berguna dan semaian benih kasih sayang kami sekeluarga bercambah menjadi akar bahagia yang kukuh dibumi CINTA"

Comments

Popular Posts