PEMBANGUNAN MODAL INSAN

Esei pendek yang telah saya sediakan sebagai wakil tunggal Kementerian Pertahanan bersempena Pertandingan Menulis Esei Hari Inovasi Jabatan Akauntan Negara Malaysia 2010. Hadiah yang diterima ala kadar sahaja tetapi sangat cantik dan tersimpan rapi sebagai koleksi peribadi. Bukan hadiah yang saya kejar tapi minat yang menolak saya untuk menulis dan membawa nama organisasi meskipun tajuk telah ditetapkan oleh pihak urusetia. Sekadar berkongsi karya dengan semua..
Sejak bermulanya zaman pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi, hujah modal insan sering dilagukan dibibir rakyat Malaysia. Hujah ini dibualkan sama ada oleh para ilmuwan, ahli politik pelbagai parti, penjawat awam hinggalah kepada rakyat biasa yang sebelum ini tidak pernah dipertuturkan dengan perkataan ini. Tun telah berjaya mencetuskan revolusi idea dalam usaha membangunkan modal insan sebagai satu landasan untuk kegemilangan generasi yang ada dan yang akan datang.
Sebelum penulis pergi lebih jauh mengupas perihal pembangunan modal insan ini, adalah lebih baik difahami terlebih dahulu maksudnya. Modal insan bermaksud:
i. Mempunyai sahsiah yang terpuji
ii. Menghayati sistem kepercayaan berfalsafah dan berprinsip
iii. Mempunyai wawasan, perancangan rapi, keterampilan diri, pemantauan dan adab serta akhlak yang terpuji.
Dalam penulisan kali ini, penulis akan mengupas ciri-ciri pembangunan modal insan dalam rona-rona hidup seorang PENJAWAT AWAM. Setiap yang penulis luahkan adalah berdasarkan pengalaman yang jika diukur dengan angka tidaklah begitu besar yakni sepuluh (10) tahun pengalaman sebagai penjawat awam, tetapi jika diukur dengan pergaulan yang luas, pengalaman berhadapan dengan pelbagai peringkat penjawat awam lain serta pelanggan diluar sana, pengalaman ini dirasakan mampu untuk diterjemahkan oleh pihak pengurusan tertinggi bagi melahirkan insan yang diidamkan oleh negara.
Bagi memperkatakan hujah ini, penulis lebih tertarik kepada ciri-ciri utama modal insan. Membangunkan modal insan adalah melahirkan individu yang berilmu. Tidak sempurna seorang penjawat awam itu, jika beliau tidak berilmu. Setiap pelanggan yang datang berurusan dengan perkhidmatan kerajaan dahagakan output yang maksima mengikut keperluan mereka. Sekiranya seorang penjawat awam yang bertugas, tidak mempunyai ilmu pengetahuan tentang tugasnya, sudah pasti sistem penyampaian kerajaan tidak dapat bergerak dengan baik. Oleh kerana itu, setiap penjawat awam perlu memastikan ilmu pengetahuan mereka diperluaskan. Dalam era kini, kelahiran penjawat awam yang cerdik pandai dan memiliki kelulusan yang tinggi tetapi tidak setara dengan jawatan yang dipegang adalah sangat besar. Oleh kerana kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan, seseorang yang memiliki ijazah sanggup menjawat jawatan pembantu akauntan gred W17. Walau bagaimanapun, ada kalanya dilihat mereka ini tidak menggunakan kemahiran yang tinggi itu untuk bekerja dengan lebih gigih lagi. Ketika penulis baru menjawat jawatan sebagai penjawat awam, penulis masih ingat bagaimana Ketua Jabatan pada ketika itu mengarahkan penulis untuk mencari dan menghadiri kursus-kursus bagi pendedahan kepada pengurusan kewangan kerajaan. Selama tiga ( 3 ) bulan pertama, penulis menghadiri kursus dan mendapatkan sedikit maklumat melalui penjawat awam yang sedia ada. Selepas cukup tempoh tersebut, Ketua Jabatan mengharapkan penulis sekurang-kurangnya mahir dengan tugasan sebanyak 50%, satu peratus yang agak mencabar bagi penulis pada ketika itu.Masa yang terluang diisi dengan mencari dan memahami sendiri tugas yang diamanahkan. Tiada istilah “dimanjai” oleh Ketua Jabatan. Tetapi apa yang penulis lihat kini, ramai penjawat awam muda yang tidak mahu berusaha menambahkan ilmu pengetahuan meskipun mereka sebenarnya berupaya untuk berbuat demikian dengan kemajuan teknologi yang ada. Mereka lebih mudah mengambil pendekatan “disajikan” dengan jawapan. Adakalanya lebih leka bersembang isu-isu yang tidak membina. Mereka sepatutnya mengisi masa yang ada dengan membaca dan memahami buku-buku atau peraturan terkini tidak kira sama ada ianya melibatkan tugas hakiki atau tidak, selagi ianya berkaitan dengan jawatan yang disandang. Dalam suasana sains dan teknologi kini, kita perlu mempersiapkan diri agar tidak ketinggalan dengan ilmu-ilmu canggih yang kian berleluasa. Alangkah megahnya terasa, apabila terdapat sesuatu persoalan atau masalah, tetapi dengan ilmu pengetahuan yang ada meskipun menjawat jawatan Pembantu Akauntan W17 masalah tersebut dapat diselesaikan. Menjadi tempat rujukan kepada yang memerlukan bagi penulis adalah satu penghormatan yang tidak ternilai kerana kita seolah-olah diberi kepercayaan secara tidak bertulis oleh pelanggan.
Modal insan juga memberi penekanan kepada pengamalan nilai-nilai murni bagi mewujudkan moral yang tinggi. Seorang penjawat awam yang mengamalkan nilai murni akan menjadi label kepada nama baik penjawat awam yang lain. Nilai murni seperti saling menghormati, bekerjasama, amanah, jujur dan prihatin harus ada dalam diri seorang yang bergelar penjawat awam mahupun orang biasa ketika menjalankan tugas.Nilai murni ini dipupuk sejak zaman persekolahan lagi dengan harapan ianya terus dipraktikkan seumur hidup mengikut suasana. Masalah keruntuhan moral dan akhlak yang ada pada masa kini adalah kerana kurangnya pembudayaan nilai-nilai murni disamping faktor-faktor lain. Nilai murni akan memandu seseorang untuk lebih bertanggungjawab dan melaksanakan kerja dengan ikhlas dan rela hati tanpa perlu disuruh berulang-ulang kali.
Tiada rasa hormat antara satu sama lain sudah pasti akan mengundang suasana kerja yang tidak selesa dan harmoni, sedangkan itulah yang kita cari dalam bekerja kerana separuh daripada masa seharian kita dihabiskan si tempat kerja. Tanpa keselesaan bekerja, output sesebuah jabatan akan menurun. Perasaan saling menghormati akan melambangkan identiti seorang penjawat awam sama ada dia seorang yang mudah bergaul atau sebaliknya. Memperkatakan tentang pergaulan, kita tidak terpisah dengan nilai kerjasama dan boleh bergerak dalam satu kelompok manusia secara berkumpulan demi menzahirkan idea yang bernas untuk kecemerlangan organisasi. Satu tugas yang dianggap berat pasti dapat disempurnakan oleh segolongan orang yang kecil bilangannya jika ada nilai kerjasama.
Sifat amanah adalah teras keharmonian dan kejayaan sesebuah organisasi. Dapatkah kita bayangkan jika seorang pekerja atau pegawai tidak mempunyai sifat amanah, segala urusan tidak akan berjalan dengan sempurna dan akan membawa kepada kehancuran. Sifat amanah dalam kerja yang telah diamanahkan tentunya akan menghasilkan nilai-nilai keperibadian seorang penjawat awam yang baik. Peranan ketua jabatan juga amat penting dalam membanteras gejala tidak amanah dalam kerja. Pekerja seharusnya patuh pada arahan yang diberi dan melaksanakan tugas itu dengan baik. Sifat ini bukan hanya melanda pekerja bawahan sahaja, malah tidak kurang juga pihak pengurusan yang seharusnya menjadi contoh terdekat. Penjawat awam diamanahkan bertugas selama 9 jam sehari, maka dalam tempoh tersebut setiap jam yang dibayar oleh kerajaan perlu dibalas dengan melaksanakan tugas sebaik mungkin. Sikap curi tulang perlu dihindarkan.
Seorang manusia yang suka menipu adalah orang yang paling tidak jujur pada dirinya sendiri. Tidak salah mengakui kesilapan daripada berbohong dan menuding jari kepada orang lain demi menutup kesilapan sendiri. Penjawat awam perlu jujur supaya setiap kerja yang dihasilkan adalah satu kerja yang murni. Sekadar memperkatakan beberapa contoh seperti diatas, kita harus mengakui bahawa dalam membangunkan modal insan, penerapan nilai-nilai murni adalah ciri yang amat penting kerana darinyalah akan wujud moral yang tinggi demi kepentingan setiap peringkat organisasi sama ada peringkat kekeluargaan, kemasyarakatan bahkan kenegaraan. Moral yang tinggi akan dapat melahirkan pula insan yang beretika.
Ciri modal insan seterusnya yang ingin penulis kupas kali ini ialah insan yang beretika. Seorang penjawat awam yang beretika akan tahu apa yang sepatutnya dilakukan. Perkara pertama menyentuh etika penjawat awam adalah waktu kehadiran ke pejabat. Ramai penjawat awam kini seharusnya merasa bertuah kerana diluar sana ramai lagi mereka-mereka yang masih tercari-cari pekerjaan. Tetapi masih terdapat segelintir penjawat awam yang sering datang lewat, keluar pejabat sesuka hati, menipu cuti sakit dan sebagainya. Etika kerja perkhidmatan awam telah digariskan dan sepatutnya dipatuhi dengan sebaik mungkin. Etika kerja diwujudkan untuk mengawal tingkahlaku supaya lahir budaya kerja professional dan mewujudkan sekelompok manusia yang berdisiplin. Masih segar dalam ingatan penulis, ketika mula menjawat jawatan penjawat awam dahulu, penulis telah diajar oleh ketua jabatan agar sentiasa mempersiapkan diri dengan tugasan esok hari. Pada setiap petang sebelum meninggalkan pejabat, penulis diarahkan mencatatkan segala tugasan yang harus diambil tindakan esok. Apabila sampai ke pejabat, perkara pertama yang akan penulis lakukan adalah melihat kembali senarai tugas yang telah disediakan semalam dan menjadi panduan untuk memulakan kerja pada hari tersebut. Etika kerja sebegini telah menjadi amalan penulis sehingga ke hari ini dan sangat membantu dalam melaksanakan kerja harian. Setiap kali ke pejabat, penulis akan berasa amat yakin kerana telah tahu tugasan yang harus dilaksanakan. Tidak sewajarnya ada istilah kerja 'bersantai-santai' kerana kelak hasilnya adalah yang 'santai-santai' sahaja.
Kesihatan adalah aset utama kepada setiap insan. Oleh yang demikian dalam usaha membangunkan modal insan yang cemerlang, aspek kesihatan perlu dititik beratkan. Setiap penjawat awam perlu menjaga kesihatan kerana selain daripada wang ringgit, harta benda dan anak-anak, kesihatan adalah juga rezeki yang tidak ternilai kepada setiap orang. Penjawat awam yang sihat akan dapat melaksanakan tugas dengan baik dan dapat melibatkan diri dengan setiap aktiviti yang dianjurkan organisasi. Diakui, tekanan ditempat kerja sekarang adalah merupakan satu gejala yang berleluasa. Justeru setiap penjawat awam harus bijak mengimbangi masa bekerja dengan masa untuk diri sendiri. Walau setaksub mana pun kita dengan kerja yang diamanahkan, selitkanlah sedikit ruang untuk diri kita sendiri, keluarga dan masyarakat.
Semangat berkhidmat untuk negara perlu sentiasa disemat dihati kita sebagai penjawat awam. Semangat patriotik sebegini sangat penting bagi melahirkan kecintaan terhadap tanahair. Gagasan 1Malaysia adalah cetusan idea yang cukup cantik oleh Y.A.B Perdana Menteri. Tiada lagi perasaan mengikut perkauman, agama dan bangsa. Setiap rakyat Malaysia adalah sama dengan satu aspirasi untuk melahirkan Malaysia yang cemerlang dari segala aspek. Penulis yang bertugas di Kementerian Pertahanan dapat merasai bagaimana sukarnya anggota keselamatan negara mempertahankan negara dan hasilnya kini setelah hampir 53 tahun kemerdekaan, kita generasi selepas merdeka menikmati kehidupan yang aman, damai, dan selamat. Sehubungan itu, sematlah sentiasa rasa menghargai kemerdekaan dan cintai negara. Jauhkanlah perbalahan yang hanya akan memudaratkan dan merosakkan apa yang telah kita ada sekarang. Sebagai penjawat awam, sentiasa ingat kita bekerja adalah untuk negara dan bagi penulis menjadi satu daripada jutaan penjawat awam yang ada rasa teramat bangga kerana dapat menyumbang sedikit meskipun bukan sumbangan yang mega.
Senario pemikiran penjawat awam kini meruntun perubahan agar selari dengan setiap apa yang diharapkan oleh jentera pentadbiran Negara. Setiap penjawat awam kini perlu lebih berinovatif dan kreatif. Tiada lagi istilah, “ orang dulu-dulu dah buat macam ini, nak buat macam mana”. Transformasi kepada sistem penyampaian kerajaan adalah perlu. Jika dahulu urusan mengeluarkan pasport mengambil masa yang agak lama, tetapi kini hanya mengambil masa 40 minit sahaja ( berdasarkan pengalaman penulis sendiri). Penjawat awam perlu sentiasa peka dalam proses kerja dan sentiasa perlu bekerjasama melahirkan idea-idea yang kreatif supaya dapat mempermudahkan lagi urusan dengan pelanggan dan memenuhi tuntutan mereka. Kita tidak boleh lagi berada ditakuk lama dan mengharapkan perubahan dicanangkan oleh orang lain. Dengan ilmu dan pengalaman yang ada, kita seharusnya boleh menyumbang kepada pembangunan kejayaan organisasi. Bukan habuan yang kita cari, tapi faedah yang dapat kita beri untuk kebaikan semua pihak. Kita berharap dengan semangat patriotik yang kita miliki sekarang akan dapat mendidik anak bangsa yang mempunyai ciri-ciri murni , berjiwa besar, cintakan negara dan mempunyai kekuatan jasmani dan rohani sebagai paksi pembangunan modal insan dengan didokong oleh ciri-ciri yang lain.
Cekal dan berdaya saing adalah cirri yang juga perlu ada dalam proses pembangunan modal insan. Manusia yang cekal akan mampu menangani setiap cabaran yang mendatang dengan jiwa yang tabah dan berusaha bersungguh-sungguh menyempurnakannya. Kecekalan akan menolak rasa putus asa dan hilang harapan. Jika hari ini kita tidak beroleh kejayaan seperti yang diharapkan, kita seharusnya terus berusaha sehingga apa yang kita idamkan menjadi kenyataan. Seorang penjawat awam yang tidak cekal, pasti akan mudah berasa rendah diri apabila berhadapan dengan cabaran dan dugaan. Dalam kecekalan dan usaha memperolehi kejayaan kita perlu mempunyai nilai berdaya saing. Berdaya sainglah secara sihat. Daya saing yang baik akan dapat melahirkan lebih banyak idea yang bernas untuk kesejahteraan, kecemerlangan dan kejayaan organisasi. Ciri berdaya saing ini juga akan dapat menonjolkan dan memperlihatkan kredibiliti seseorang dalam melahirkan seorang yang “terhebat” dikalangan yang “hebat”. Insan yang berdaya saing tidak mudah menoleh kebelakang dan sentiasa mengorak langkah kehadapan. Jika kita mengambil contoh pemimpin negara, sekiranya mereka tidak berjiwa cekal dan berdaya saing mana mungkin mereka dapat memacu negara ke arah kecemerlangan.
Ciri seterusnya yang tidak boleh dilupakan adalah dinamik dan progresif. Penjawat awam yang dinamik perlu bertenaga dan mempunyai kekuatan serta mampu mewujudkan pembaharuan demi kemajuan. Kemajuan yang dicetuskan pula perlu sentiasa bergerak dan meningkat dari satu tahap ke satu tahap yang lebih baik. Penjawat awam yang hanya berdiam diri tanpa mahu bergerak kea rah perubahan yang positif adalah mereka yang tidak menyahut seruan menjadi penjawat awam yang berdinamik. Adakalanya, pelanggan di luar sana dapat menilai seorang penjawat awam itu semasa berurusan sama ada beliau seorang yang berwawasan tinggi atau tidak. Setiap perkhidmatan yang kita sampaikan janganlah sekadar melepas batuk ditangga sahaja. Seharusnya kita cuba untuk menyampaikannya dalam bentuk yang lebih efisien dan fleksibel. Kita mempermudahkan sesuatu tanpa menjejaskan yang sedia ada tetapi impaknya dapat memberi kepuasan berganda kepada pelanggan. Di kalangan kita terdapat juga sindrom takutkan perubahan. Apabila demikian, pelbagai alasan dikemukakan demi untuk menolak perubahan yang ingin dibuat. Kita seharusnya berani mencuba dahulu dan melihat hasilnya sebelum terus membuat kesimpulan negative. Pembaharuan yang kita cipta perlu berterusan dan sentiasa meningkat dari semasa ke semasa. Jika di awalnya kita memberikan tahap “B”, seterusnya kita meningkat ke tahap “A” dan tahap yang lebih baik lagi.
Sekiranya kesemua ciri di atas ada pada seorang penjawat awam, pasti akan lahir jutaan penjawat awam yang unggul dan berwibawa. Kesedaran perlu ada di kalangan kita tanpa mengira pangkat dan kedudukan bahawa ciri-ciri ini amat penting dalam pembangunan modal insan yang seterusnya menjana kejayaan Wawasan 2020. Kejayaan pembangunan modal insan berdasarkan 8 teras dasarnya banyak bergantung kepada individu itu sendiri. Walau bagaimanapun, kejayaannya bukan merujuk kepada penglibatan individu sahaja tetapi secara sekumpulan manusia kerana itu ianya dinamakan pembangunan modal insan bukan pembangunan modal individu.
Modal insan mempunyai dimensi yang luas iaitu aspek individu, masyarakat dan ekonomi. Dengan memperkukuhkan modal insan itu sendiri, ia akan menggalakkkan peningkatan produktiviti negara, sekali gus menjana pendapatan yang lebih baik dan mewujudkan peluang pekerjaan.
Kesimpulannya, pemahaman mengenai kepentingan modal insan perlu diberi penekanan dikalangan rakyat dan penjawat awam khususnya supaya mereka memahami dan memastikan apa yang dirancang dapat dilaksanakan serta mencapai matlamat. Bagi memastikan Malaysia maju mengikut acuan yang tersendiri, pembangunan modal insan secara menyeluruh dan bersepadu perlu dilaksanakan bagi membentuk insan berketerampilan dan berkualiti dalam melahirkan insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang bertunjangkan aspirasi 1Malaysia.
RAJA SAADIAH ALWEE KEMENTERIAN PERTAHANAN OKTOBER 2010

Comments

Popular Posts