DIARI PENJAWAT AWAM - KEMBARA 51 BANDAR DUNIA
"Terima kasih Dr. Ayudez Zuraina atas ulasan buku saya yang sangat terperinci"
Bacalah untuk terus mengembara bersama saya, RSAJourney
Di Canberra
Terasa asing digerombolan mereka
Terpasung diri dikerumuni gementar
Siapakah
penulis yang melahirkan rasa gentarnya dalam puisi terhadap Canberra? Adakah
beliau yang terbang ke 51 bandar dunia? Bagaimanakah beliau boleh ke semua destinasi
dalam bandar dunia dalam masa 4
tahun dengan rasa, tanggungjawab, dan amanah? Adakah itu impiannya?
Raja Saadiah menghadiahkan kita dengan sebuah diari lakaran pengalaman
penjawat awam. Maka, apabila melihat kulit buku ini, perkara pertama yang
berlegar dalam kepala saya ialah buku ini berkisarkan catatan berkaitan lawatan
peribadi seorang penjawat awam. Namun, tanggapan itu terungkai dan ternyata
meleset apabila penulis menyelak muka surat pertama buku yang membongkar
segalanya.
Membaca diari ini ternyata membuang persepsi awal tentang buku travelog
yang terdapat di pasaran Malaysia. Buku terbitan RSA Publications berhalaman
sebanyak 384 muka surat ini ternyata membawa satu persepsi atau pandangan
tentang perjalanan seorang penjawat awam ke negara luar dengan menggalas sebuah
amanah. Harapannya sejak kecil untuk meneroka setiap inci dunia namun
bagaimanakah untuk merealisasikan impian itu dengan keadaanya? Manusia dalam
fitrahnya mempunyai keterujaan, rasa ingin tahu dan rasa keperluan yang tinggi
dalam diri. Menurut penulis inilah peluang untuknya mencari pengalaman dalam
alam pekerjaannnya sekaligus dalam masa yang sama dapat melawat ke banyak
negara di dunia. Tawaran yang diberi, disambut dengan seribu kegembiraan.
Mengapa hasil penulisan ini diangkat sebagai
diari?
Diari ini ialah catatan yang merungkap kepada bagaimana perjalanan
seorang penjawat awam iaitu penulis dalam merealisasikan tugasnya demi
menjalankan amanah dan tanggungjawab terhadap negara. Maka bermulalah satu
kembara penjawat awam melompat dari satu awan ke satu awan yang lain dalam
pemergian yang panjang. Kembara membuatkan penulis menjadi lebih matang dalam
tugas dan kehidupan, apabila penulis telah mengenali dunia.
Menariknya tentang buku ini, buku ini mempunya info berkaitan destinasi
yang dituju, info negara dan bandar, alamat kedutaan yang perlu dihubungi
ketika melawati negara tersebut berserta nombor telefon dan faks, perbezaan
waktu, matawang yang digunakan, dan bahasa yang digunakan di negara tersebut.
Info kedutaan ini sangat penting kerana sukar bagi orang awam untuk mendapatkan
maklumat terperinci berkaitan kedutaan dari satu sumber atau pengkalan data. Buku
ini juga merangkumi penceritaan berkaitan budaya masyarakat setempat, tempat
yang menarik untuk dilawati, pengaruh bahasa dalam komunikasi, makanan
masyarakat tempatan, dan tanda dagangan yang terdapat di negara yang dilawati
penulis. Pandangan peribadi penulis dimuatkan dalam bait puisi dan monolog yang
terdapat dalam buku ini. Antara puisinya yang dipetik dari salah satu lokasi
ialah;
Bosnia & Herzegovina
Kudengar aluanan simfoni duka anak-anak
Yang menjadi korban kerakusan kuasa
Yang menolak kemanusiaan di tebing kejam
Sunyinya Bihac
Menyimpan walang bedilan mortar
Menggambus umat mengebumi semangat
Menyusun notasi nisan batu menjadi lagu kesedihan
Inilah tanda saratnya jiwa
Berperang sukma lebih lelah dari bertempur jasad
Kepedihan bergenang dimata jua
Diselindungnya dengan gelak ketawa
Penulis mengabdikan gambaran keresahan dan kesedihan pada Bosnia &
Herzegovina. Puisi ini menggambarkan rasa hati penulis terhadap peristiwa yang
terjadi ketika itu dan membimbit rasa ke sudut hati pembaca. Kejujuran penulis
dapat dirasai melalui nukilan monolog dan puisi yang dirembeskan dalam
merungkai rasa pada setiap kota-kota dunia yang dilawati. Puisi yang merakamkan
perasaan, lokasi, peristiwa ini dititip indah di akhir setiap lokasi yang
dilawatinya.
Apabila membaca buku ini berulangkali dapat disimpulkan buku ini
dicoretkan dengan pelbagai rasa, pelbagai emosi, pelbagai persepsi dan
pengalaman di setiap destinasi yang berbeza.
Selain berapresiasi terhadap pengalamannya, penulis turut melahirkan
apresiasi terhadap rakan-rakan sekerja dan rakan-rakan baru yang ditemuinya
sepanjang lawatan tersebut. Melalui buku ini, RSA juga memasukkan elemen imaginasi,
tanggapan dan pandangan hidupnya terhadap destinasi dan persekitaran yang
dilawatinya.
Walaupun begitu, ternyata begitu banyak cabaran yang diterima penulis
sepanjang kembara penjawat awam itu. Penulis menonjolkan sikap positif ketika
berada di dalam sesuatu situasi yang tertekan. Penulis beranggapan setiap
perkara yang terjadi adalah cabaran dan dugaan agar Allah menghadiah beliau
sesuatu yang lebih baik. Dalam kembara ke 51 bandar dunia ini, penerbangan
berjalan tanpa henti, penulis dibebankan dengan proses penyediaan kertas kerja
dan persiapan dalam masa yang singkat sebelum ke destinasi yang dikehendaki.
Semua proses dan prosedur perlu diikuti agar memudahkan segala yang dirancang. Peringkat
awal pengembaraan melibatkan perisian ICT yang berbahasa asing. Proses
penyediaan sistem menjadi rumit kerana kepakaran penulis bukanlah di dalam
bidang teknologi maklumat. Ditambah dengan masa menjalankan tugas dalam jangka
masa masa yang panjang menuntut kekuatan dalaman dan luaran bagi memastikan
tugasan selesai seperti yang dijadualkan. Tekanan kekangan masa dan
tanggungjawab ditangani oleh penulis dengan sebaik mungkin agar segala amanah dapat
disampaikan dengan lancar. Antara faktor penyebab ialah sesetengah negara tidak
menerima bahasa luar sedangkan sesi pembelajaran di dalam bahasa Inggeris.
Antara negara tersebut ialah Jepun, Peru, Venezuela dan Brazil. Maka proses
komunikasi menjadi agak sulit dan maklumat tidak dapat disalurkan dengan
lancar. Selain itu, keadaan negara yang bergolak, menuntut cabaran untuk penulis
sentiasa peka dan berhati-hati dalam setiap tindak tanduk. Kerenah birokrasi di
setiap satu negara adalah berbeza terutama yang melibatkan kawalan kemasukan,
kawalan keselamatan, kawalan imigresen yang ketat dan persepsi terhadap wanita
bertudung terutama apabila melibatkan negara seperti Amerika Syarikat, Afrika
Selatan dan Lubnan. Cabaran yang dihadapi oleh penulis dalam catatan kembaraan
ini wajar dijadikan panduan kepada pembaca sebagai persiapan menghadapi negara
yang bakal dikunjungi.
Konsep penceritaan yang santai dengan penggunaan bahasa yang mudah,
tidak sukar dihadam oleh pembaca. Penulis juga menggunakan konsep
pengarangannya yang tersendiri membuatkan buku ini lari dari klise buku
travelog sedia ada di pasaran. Perkongsian pengalaman penulis melalui stail
penulisan diari dilihat sebagai pendekatan untuk mendekati pembaca dengan lebih
dekat. Selain itu, susun letak dan atur buku yang ringkas dengan gambar-gambar
yang memenuhi halaman membuatkan pembaca tidak jemu untuk sama menikmati
pengalaman penulis.
Memiliki buku ini adalah bonus kepada pembaca agar dijadikan panduan
sebelum melawat ke negara-negara tersebut berdasarkan info dan pengalaman yang
disuratkan. Harapan penulis semoga penjawat awam dalam apa jua peringkat dapat
mengambil hikmah dan terinspirasi dari diari ini agar bertugas dengan penuh
tanggungjawab dan amanah.
Comments
Post a Comment